“Siapa yang menjadikan manusia? Jika ditanya persoalan ini, pasti ramai yang tahu akan jawapannya...Setiap yang wujud pasti ada penciptanya...Mari kita hayati betapa kita amat memerlukanNYA....”
Setiap hamba pasti memerlukan Pemiliknya dan harus mempunyai pelindung dan yang dinamakan Tuhan mesti berkuasa, memberi pertolongan, memutuskan hukum, memberikan keuntungan, kekayaan, kekuatan lagi bersifat kekal. Sedangkan yang memiliki semua sifat itu adalah Allah Yang Esa, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Memelihara.
Sebagai hambaNya, sewajarnya kita meletakkan Allah s.w.t sebagai tempat bergantung, tempat mendapatkan ketenangan dan tempat merasakan kenikmatan menghadapNya. DIA adalah tempat kembali orang-orang yang takut, tempat berlindung orang-orang yang meminta perlindungan dan tempat mengadu bagi orang-orang yang dalam kesulitan.
Allah berfirman :
Maksudnya :
“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenanNya bagimu”
(al-Anfal : 9)
Maksudnya :
“Dia melindung tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari azabNya”
(al-Mu’minun : 88)
Maksudnya :
“Sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafaat pun selain daripada Allah”
(al-an’am :51)
Orang yang menyembah selain Allah dan seterusnya mencintai apa yang disembahnya serta yang merasakan kenikmatan cinta dalam kehidupan dunianya sebenarnya telah dibunuh. Firman Allah dalam surah al-anbiya’ ayat 22 :
Maksudnya :
“Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah
tentulah keduanya telah binasa”
(al-anbiya’:22)
Dan penjaga langit dan bumi pun harus mengakui Allah sebagai Tuhan Yang Haq. Jika ada Tuhan lain selain Allah itu bererti bahawa Allah bukan Tuhan yang Haq. Ini kerana dengan sifatNya yang haq maka Allah tidak mempunyai setara. Dan Tuhan selain Allah harus dinafikan kerana aturan yang ada selama ini hanya dilakukan oleh Allah s.w.t. Seharusnya kita perlu menyedari bahawa sebagai hamba kita amat memerlukan Tuhan, pelindung, penjamin dan penolong baginya. Itu menunjukkan adanya hubungan antara Yang Fana’ dan Yang Baqa’, antara yang lemah dengan Yang Kuat, antara yang fakir dengan Yang Kaya. Sesiapapun yang tidak menjadikan Allah sebagai Tuhannya malah menjadikan selain Allah samada makhluk, benda, gambar, apa sahaja yang disenangi dan apa saja yang disegani sebagai Tuhan maka mereka telah menjadi hambanya. Sepertimana dalam firman Allah, surah al-Furqan ayat 43 ;
Maksudnya :
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsu
sebagai TuhanNya”
(al-Furqan ; 43)
Manakala dalam sebuah hadith pula, ada menyatakan :
Maksudnya :
“Wahai Hussin : berapa Tuhan yang engkau sembah? Maka Hussin menjawab : Saya menyembah tujuh Tuhan iaitu enam di bumi dan satu di langit. Rasulullah s.a.w bertanya lagi : Siapakah yang engkau segani dan sukai? Hussin menjawab : Yang di Langit. Maka Rasulullah s.a.w bersabda : Tinggalkanlah yang di bumi dan sembahlah Yang di Langit.”
Wujud keperluan hamba kepada Allah, adalah dengan menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain. Ataupun membandingkanNya dengan yang lain. Ini kerana hamba memerlukan Tuhannya melebihi segala keperluan yang ada disekeliling kita.
Nilai seorang hamba adalah roh dan hatinya. Tentu sahaja ukuran dan nilai itu adalah pengabdiannya kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Baik hati mahupun roh tidak akan merasa tenang selagi ianya tidak dihiasi dengan zikir kepada Allah. Jika roh dan hati telah bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Tuhannya, pastilah ia akan menemuiNya kerana apa pun juga akan baik ketika dapat bertemu denganNya.
Barangsiapa yang menyukai
Hari Perjumpaan dengan Allah
Maka Allah lebih menyukai lagi
Untuk bersua dengannya
Sebaliknya…….
Orang yang tidak menyukai bersua denganNya
Maka mohonlah kepada Allah
Kurnia RahmatNya
Dan janganlah engkau mengandalkan yang lain.
Kalau pun kepada selain Allah, hamba itu boleh mendapatkan kenikmatan dan kegembiraan, maka sesungguhnya yang seperti itu tidak abadi, kenikmatan yang berpindah dari satu ke satu yang lain. Pada suatu waktu ia merasakan kenikmatan dengan yang ini tetapi dilain kali sesuatu yang sama tidak memberinya kenikmatan yang sama seperti sebelumnya bahkan mencelakakannya.
Adapun Tuhan yang sebenarnya maka ia pasti berhajat kepadaNya pada setiap keadaan dan setiap waktu dan dimana pun dia berada, Tuhannya selalu bersamanya.
Aku tidak peduli sekalipun semua manusia benci,
Selama Engkau redha dan memang inilah puncak harapanku
~Kita adalah hamba yang dijadikan olehNya dan adalah sebaik-baik kejadian maka hanya kepadanyalah sewajarnya kita bergantung harap serta mengabdikan diri kita. Itulah Payung Yang Berkuasa, tiada payung yang mampu melawanNya~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan