اهلا وسهلا

~WADAH PERKONGSIAN BERSAMA~



11 Jun 2011

Sambal Belacan


Anda pernah makan sambal belacan? Tidak sempurna sajian sekiranya tidak ditambah dengan sambal belacan, lagi-lagi bagi mereka yang berbangsa jawa… Takpun bagi mereka yang amat menggemari makanan pedas…

Kisah Si Tanggang

Setiap dari kita pasti mengetahui kisah Si Tanggang yang amat popular di tanah air kita ini. Si Tanggang adalah anak kesayangan ibunya tetapi akhirnya dia mati dalam keadaan yang menyedihkan. Akibat kederhakaannya, ibunya yang amat berkecil hati lalu memanjatkan doa kepada Allah s.w.t. Akhirnya Si Tanggang telah mati menjadi batu. Ini adalah cerita yang biasa dimomokkan serta menjadi ingatan kita semua.



Juraih Ahli Ibadah

Pada zaman Rasullullah s.a.w ada seorang ahli ibadah bernama Juraih. Juraih kuat beribadah hingga dia membina biara sebagai tempatnya mengerjakan ibadah. Pada suatu hari, Juraij terpaksa menerima satu cabaran hebat dalam hidupnya. Di mana dia telah dituduh berzina dengan seorang pelacur hingga pelacur itu melahirkan anak.

            Akibat tuduhan itu, Juraij dibawa kemuka pengadilan. Ramai pelacur yang menghadiri sesi pengadilan itu kerana mereka ingin mengetahui apakah keputusan dan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada Juraih. Pada waktu itu dengan izin Allah, bayi yang dilahirkan oleh pelacur tadi boleh berkata-kata. Apabila Juraih bertanya kepada bayi itu “Siapakah bapamu?” lalu bayi itu menjawab “Bapaku adalah si pengembala lembu”. Dengan kesaksian yang luar biasa itu, Juraij bebas dari sebarang pertuduhan. Dia mendapat semula tempat terhormat dikalangan masyarakat dan nama baiknya pulih seperti dahulu.

            Setelah kes itu selesai, Juraij menyedari bahawa dia perlu menghadapi kejadian itu dengan tenang. Ini adalah kerana, kejadian itu terjadi akibat dia tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya menjadi marah dan mendoakan Juraij tidak meninggal dunia sebelum dia melihat wajah pelacur.

Sebuah kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s

Pada zaman Nabi Sulaiman a.s ada seorang lelaki yang tinggal di dalam kubah mempunyai 4 pintu. Dia telah mendapat bekalan makanan melalui burung yang ditugaskan untuk menghantar makanan dan minuman yang enak kepadanya. Lelaki itu telah mengabiskan masanya dengan beribadah di dalam kubah itu. Dia melakukan begitu keran dia ingin berbakti kepada kedua orang tuanya walaupun mereka telah meninggal dunia.

            Dia telah menjaga kedua orang tuanya selama tujuh tahun sebelum kedua-duanya meninggal dunia. Sebelum ibunya meninggal, beliau telah berdoa kepada Allah supaya menempatkan anaknya pada suatu tempat yang bukan di bumi dan bukan di laut supaya anaknya tidak dapat dilihat oleh syaitan. Manakala bapanya pula memohon kepada Allah agar memanjangkan umur anaknya. Allah telah memperkenankan doa kedua orang tuanya.

            …………………………………………………………………………………………………            

Melalui ketiga-tiga kisah tadi, semuanya dikaitkan dengan doa. Doa kedua orang tua adalah mustajab. Dan doa yang paling mustajab ialah doa dari seorang ibu. Ini kerana doa ibu mempunyai dua kekuatan iaitu kekuatan daripada kemuliaan orang tua dan kekuatan dari daya ubah doa.

            Daripada kisah-kisah tersebut juga dapat dilihat hubungan yang erat antara kekutana doa, kemuliaan ibu bapa dan keadaan anak samada yang berbakti kepada ibu bapanya atau sebaliknya. Semuanya akan mempengaruhi doa ibu atau bapanya.

            Doa ibu adalah doa yang dahsyat, dimana ianya dapat disimpulkan melalui 4 perkara. Yang pertama, kerana kesucian dan kemuliaan doa itu disisi Allah. Kedua, kerana kemuliaaan orang tua khususnya ibu disisi Allah. Ketiga, kerana besarnya pahala berbakti kepada ibu bapa. Keempat, beratnya dosa menyakiti orang tua.

Apakah kaitannya kisah-kisah tersebut dengan sambal belacan yang saya keutarakan di awal artikel ini? Ya, ianya ada kaitan……. Sambal belacan adalah penyedap kepada makanan dan kita semua memerlukannya. Akan tetapi kita amatlah memerlukan doa daripada kedua orang tua kita melebihi keperluan kita kepada sambal belacan tadi. Ini kerana, dengan doa kita akan berjaya dan dengan doa juga kita akan menjadi derhaka. Sepertimana lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz bertajuk “Ridha al-walidaini”.

            Ibu,
            Doanya adalah penawar      
            Juga racun berbisa
            Ibarat tajamnya mata pisau
            Yang mampu melakar
            Masa depan yang gemilang
            Buat anak tercinta
            Juga dapat menghancurkan masa depan si anak derhaka.



10 Jun 2011

Payung Yang Berkuasa

“Siapa yang menjadikan manusia? Jika ditanya persoalan ini, pasti ramai yang tahu akan jawapannya...Setiap yang wujud pasti ada penciptanya...Mari kita hayati betapa kita amat memerlukanNYA....”


Setiap hamba pasti memerlukan Pemiliknya dan harus mempunyai pelindung dan yang dinamakan Tuhan mesti berkuasa, memberi pertolongan, memutuskan hukum, memberikan keuntungan, kekayaan, kekuatan lagi bersifat kekal. Sedangkan yang memiliki semua sifat itu adalah Allah Yang Esa, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Memelihara.

Sebagai hambaNya, sewajarnya kita meletakkan Allah s.w.t sebagai tempat bergantung, tempat mendapatkan ketenangan dan tempat merasakan kenikmatan menghadapNya. DIA adalah tempat kembali orang-orang yang takut, tempat berlindung orang-orang yang meminta perlindungan dan tempat mengadu bagi orang-orang yang dalam kesulitan.

Allah berfirman :

Maksudnya :
“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenanNya bagimu”
(al-Anfal : 9)

Maksudnya :
“Dia melindung tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari azabNya”
(al-Mu’minun : 88)

            Maksudnya :
“Sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafaat pun selain daripada Allah”
(al-an’am :51)

            Orang yang menyembah selain Allah dan seterusnya mencintai apa yang disembahnya serta yang merasakan kenikmatan cinta dalam kehidupan dunianya sebenarnya telah dibunuh. Firman Allah dalam surah al-anbiya’ ayat 22 :

            Maksudnya :
“Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah
tentulah keduanya telah binasa”
(al-anbiya’:22)

            Dan penjaga langit dan bumi pun harus mengakui Allah sebagai Tuhan Yang Haq. Jika ada Tuhan lain selain Allah itu bererti bahawa Allah bukan Tuhan yang Haq. Ini kerana dengan sifatNya yang haq maka Allah tidak mempunyai setara. Dan Tuhan selain Allah harus dinafikan kerana aturan yang ada selama ini hanya dilakukan oleh Allah s.w.t. Seharusnya kita perlu menyedari bahawa sebagai hamba kita amat memerlukan Tuhan, pelindung, penjamin dan penolong baginya. Itu menunjukkan adanya hubungan antara Yang Fana’ dan Yang Baqa’, antara yang lemah dengan Yang Kuat, antara yang fakir dengan Yang Kaya. Sesiapapun yang tidak menjadikan Allah sebagai Tuhannya malah menjadikan selain Allah samada makhluk, benda, gambar, apa sahaja yang disenangi dan apa saja yang disegani sebagai Tuhan maka mereka telah menjadi hambanya. Sepertimana dalam firman Allah, surah al-Furqan ayat 43 ;

            Maksudnya :
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsu
sebagai TuhanNya”
(al-Furqan ; 43)

Manakala dalam sebuah hadith pula, ada menyatakan :

            Maksudnya :
“Wahai Hussin : berapa Tuhan yang engkau sembah? Maka Hussin menjawab : Saya menyembah tujuh Tuhan iaitu enam di bumi dan satu di langit. Rasulullah s.a.w bertanya lagi : Siapakah yang engkau segani dan sukai? Hussin menjawab : Yang di Langit. Maka Rasulullah s.a.w bersabda : Tinggalkanlah yang di bumi dan sembahlah Yang di Langit.”

            Wujud keperluan hamba kepada Allah, adalah dengan menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain. Ataupun membandingkanNya dengan yang lain. Ini kerana hamba memerlukan Tuhannya melebihi segala keperluan yang ada disekeliling kita.

            Nilai seorang hamba adalah roh dan hatinya. Tentu sahaja ukuran dan nilai itu adalah pengabdiannya kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Baik hati mahupun roh tidak akan merasa tenang selagi ianya tidak dihiasi dengan zikir kepada Allah. Jika roh dan hati telah bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Tuhannya, pastilah ia akan menemuiNya kerana apa pun juga akan baik ketika dapat bertemu denganNya.

            Barangsiapa yang menyukai
            Hari Perjumpaan dengan Allah
            Maka Allah lebih menyukai lagi
            Untuk bersua dengannya
            Sebaliknya…….
            Orang yang tidak menyukai bersua denganNya
            Maka mohonlah kepada Allah
            Kurnia RahmatNya
            Dan janganlah engkau mengandalkan yang lain.

            Kalau pun kepada selain Allah, hamba itu boleh mendapatkan kenikmatan dan kegembiraan, maka sesungguhnya yang seperti itu tidak abadi, kenikmatan yang berpindah dari satu ke satu yang lain. Pada suatu waktu ia merasakan kenikmatan dengan yang ini tetapi dilain kali sesuatu yang sama tidak memberinya kenikmatan yang sama seperti sebelumnya bahkan mencelakakannya.

            Adapun Tuhan yang sebenarnya maka ia pasti berhajat kepadaNya pada setiap keadaan dan setiap waktu dan dimana pun dia berada, Tuhannya selalu bersamanya.

            Aku tidak peduli sekalipun semua manusia benci,
            Selama Engkau redha dan memang inilah puncak harapanku


~Kita adalah hamba yang dijadikan olehNya dan adalah sebaik-baik kejadian maka hanya kepadanyalah sewajarnya kita bergantung harap serta mengabdikan diri kita. Itulah Payung Yang Berkuasa, tiada payung yang mampu melawanNya~